Dua lagi mayat mangsa nahas AirAsia QZ8501 ditemui pada hari ke-13 misi pencarian dan diangkat ke Kapal Mahakarya Geo Survey (MGS) yang berada di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

Lapor portal CNN Indonesia, jantina mayat adalah seorang lelaki dan perempuan.

Mereka duduk bersebelahan dan diangkat dari laut bersama kerusi yang mereka duduki.

Mayat lelaki kelihatan memakai alat mengendong bayi di dadanya.

Sebelum ini, dua mayat ditemui dan diangkat oleh Kapal KN Pacitan milik Basarnas dan Kapal Diraja Kasturi milik Malaysia.

Lapor portal berkenaan, sehingga hari ini 46 jenazah telah ditemui oleh pasukan SAR.

QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 28 Disember 2014 jam 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari sama sebelum dilaporkan hilang.