Seramai 17 penyelam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 gagal meneruskan tugas mereka akibat jarak penglihatan yang terhad, lapor detik.com.

Usaha mencari hanya akan diteruskan pada pagi esok.

Menurut maklumat yang dikumpulkan di kapal Geo Survey, jarak penglihatan di lokasi pencarian sangat gelap. Pada kedalaman 20 meter, tidak ada objek yang kelihatan kerana dikaburi dengan lumpur pekat.

"Kami akan meneruskan operasi mereka pada pukul 6 hingga 9 pagi esok," kata salah seorang anggota penyelam.

Setakat ini, terdapat lima objek dikesan oleh isyarat sonar. Terbaru, objek berukuran 9 meter berjaya dikesan.