Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata adalah masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan pesawat QZ8501.

"Kita tidak tahu jika ia adalah satu kemalangan. Kita kena tunggu dan lihat. Kita tidak mahu membuat spekulasi. Kita tidak pasti apa yang berlaku.

"Kita perlu tunggu pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mencari pesawat dan kemudian kami akan bekerjasama dalam siasatan penuh," katanya kepada pemberita di Surabaya malam Ahad.

Tony juga berkata pesawat itu telah melalui pemeriksaan penuh pada bulan lalu dan berada dalam keadaan baik.



Beliau berkata keutamaan AirAsia adalah untuk menjaga ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

"Tidak ada yang lebih penting bagi kami daripada ahli keluarga anak kapal dan penumpang," katanya.

Tony juga memaklumkan AirAsia juga telah menubuhkan pusat krisis di Surabaya dan Jakarta.