Sekurang-kurangnya lima sungai didapati paling teruk tercemar di negara ini.

Antaranya, Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Klang dan Sungai Penchala di Kuala Lumpur dan Sungai Segget di Johor Bahru.

Kegiatan pembuangan sampah dari kawasan perumahan di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut merupakan antara punca utama pencemaran itu berlaku.

Selain itu, aktiviti kilang memproses getah dan minyak kelapa sawit juga menjadi punca kepada pencemaran ini.

Ia berlaku apabila sisa toksik dibuang dan dialirkan ke dalam longkang, parit, terusan dan seterusnya ke dalam sungai.

Dalam pada itu, beberapa negara maju juga didapati melakukan kesalahan membuang sisa radioaktif dengan memasukkan sisa ke dalam tong sebelum membuangnya ke dalam laut.

Tindakan tersebut secara tidak langsung merosakkan hidupan laut dan sesetengah pulau pula dilaporkan tidak mempunyai sistem pelupusan sampah yang baik, sekaligus mewujudkan istilah pulau sampah secara terancang atau tidak terancang.

Dari sisi perunding alam sekitar, Malaysian Water Partnership, MyWP, Amlir Ayat, masalah pencemaran ini boleh diatasi dengan usaha yang berterusan, selain menerapkan ilmu kesedaran sivik terhadap anak-anak di peringkat seawal pra-sekolah.

“Saya rasa satu perkara yang perlu diingat ialah, ia perlu dilakukan dari peringkat sekolah rendah atau sejak tadika lagi”, jelasnya.

“Kalau kita lihat di negara maju, mereka menerapkan isu-isu alam sekitar ini bukan sahaja mengenai pencemaran sungai, ia telah diterapkan sejak di peringkat pra sekolah, malah ia tidak dianggap sebagai isu pencemaran tetapi sebagai satu etika kehidupan”, tambahnya lagi ketika dihubungi Astro AWANI.

Dia percaya Malaysia juga boleh melakukan perkara sedemikian tetapi perlu dilaksanakan secara berterusan.