Kementerian Kesihatan berharap permohonan penambahan peruntukannya terutama untuk pembinaan hospital dan program rawatan kesihatan pencegahan dalam Belanjawan 2014 akan diluluskan oleh kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata masih banyak hospital menghadapi masalah kesesakan yang perlu diatasi segera, sementara program rawatan kesihatan pencegahan pula perlu diperluas di semua peringkat termasuk klinik kesihatan.

Menurut Dr Subramaniam, jumlah perbelanjaan kesihatan keseluruhan negara pada 2010 ialah 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu RM33.657 bilion dengan 55 peratus daripadanya dibelanjakan oleh kerajaan.

"Jika kita mahu meningkatkan perbelanjaan ini kepada 6.1 peratus daripada KDNK, iaitu purata bagi negara berpendapatan pertengahan atas, dari mana kita nak dapatkan dana," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan laporan negara 'Malaysian Health System in Transition' (HiT). Turut hadir Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Graham Harrison.

Mengulas lanjut, beliau berkata untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor kesihatan, kementeriannya kini menumpukan kepada program meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pencegahan dan pengesanan awal penyakit.

Menurut Dr Subramaniam, jangka hayat rakyat Malaysia juga semakin meningkat selain berkurangnya kadar kematian ibu dan bayi.

Katanya WHO juga mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyatnya.

Mengenai HiT, Dr Subramaniam berkata laporan itu merupakan kajian secara menyeluruh mengenai sistem kesihatan di negara ini serta dasarnya, kekuatannya dan juga kelemahan yang harus diperbaiki.