Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dan mencadangkan pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan pengurusan fiskal bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

"Saya perlu tegaskan bahawa GST bukanlah satu cukai yang baru ," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat.

Cukai baru tersebut akan berkuat kuasa pada 1 April 2015.

Bagi mengatasi kesan GST, kerajaan akan menyediakan bantuan sebanyak RM300 di bawah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan kadar cukai pendapatan yang lebih rendah sebanyak 1% hingga 3% dan ini akan menyebabkan 300,000 pembayar cukai tidak lagi perlu membayar cukai.

Pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100, 000 kepada RM400,000 manakala kadar cukai maksimum yang kini 26% akan dikurangkan kepada 24%, 24.5% dan 25%.

Kadar cukai korporat yang kini berada pada 25% akan dikurangkan kepada 24% manakala kadar cukai IKS akan dikurangkan kepada 19%.

Kerajaan juga telah memperkenalkan inovasi kepada mekanisme untuk pembayar cukai dengan memperuntukan bahawa cukai yang dibayar pada setiap bulan dianggap sebagai cukai muktamad. Pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukap pendapatan mereka mulai tahun taksiran 2014.

Bajet 2014 turut menangani kebimbangan peningkatan harga rumah yang melambung tinggi, kekurangan penawaran rumah dan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan perumahan.

"Saya mendengar rungutan rakyat yang ingin memiliki rumah yang selesa terutama dari golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana," ucap Najib.

Untuk meningkatkan keupayaan rakyat untuk membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil, kerajaan telah mencadangkan untuk mengkaji semula Cukai Keuntungan Hartanah Semasa (RPGT).

RPGT semasa akan diubah, di bawah struktur baru ini, penjualan hartanah akan menarik cukai pada 30% bagi hartanah yang dijual dalam tempoh 3 tahun . Had bagi pemilikan hartanah oleh warga asing akan dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500, 000.

Dianggarkan 223,000 unit rumah baru juga akan dibina oleh kerajaan dan sektor swasta pada tahun hadapan. Kerajaan juga akan memansuhkan Developers Interest Bearing Scheme (DIBS).

Bajet 2014 menggariskan lima teras utama: merancak aktiviti ekonomi, mengukuhkan pengurusan fiskal, mengunggul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar, dan menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat.

Bajet 2014 telah memperuntukkan RM264 bilion bagi melaksanakan projek-projek yang mana RM217 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM46.5 bilion perbelanjaan pembangunan. Sementara itu kerajaan dijangka mengutip hasil sebanyak RM224 bilion dan defisit dijangka berkurangan kepada 3.5% daripada 4 % pada masa ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap dasar fiskal yang berhemat.

Dalam usaha untuk membantu industri penerbangan, kerajaan akan menggantikan sistem kawalan udara di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan kos sebanyak RM700 juta. Ia juga akan menaik taraf lapangan terbang di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM312 juta.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia yang akan berlangsung pada 2014, kerajaan akan menangguhkan penamatan Elaun Cukai Pelaburan dan Status Perintis untuk pembinaan hotel 4 dan 5 bintang .

Sebagai insentif tambahan , pembiayaan bernilai RM2 bilion akan disediakan bagi meningkatkan sektor pelancongan.

Oleh kerana Malaysia sebagai pemimpin dunia dalam sukuk, Instrumen Sukuk Bertanggungjawab Sosial akan diperkenalkan untuk melabur dalam syarikat-syarikat tersenarai yang mempunyai akauntabiliti yang tinggi dan ketelusan.

Najib juga mengumumkan bahawa bayaran BR1M juga akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 untuk isi rumah berpendapatan RM3 ,000 sebulan dan ke bawah.

Menurut Bank Dunia, ekonomi global dijangka berkembang pada kadar 2.9% bagi tahun 2014.


Najib juga menegaskan bahawa Bursa Malaysia telah mencapai paras tertinggi pada 1,818 mata menandakan penambahan penyertaan tempatan dan asing.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 5% hingga 5.5% bagi tahun 2014.

Sementara itu, inflasi dijangka rendah pada 2 % hingga 3% manakala kadar pengangguran dijangka stabil pada 3.1%