Sistem pendidikan Malaysia tidak dapat menyediakan pelajar untuk 'dunia kerja sebenar', itu pandangan majoriti orang ramai yang mengundi dalam satu tinjauan atas talian.

Undian itu adalah sebahagian daripada kajian mingguan Astro AWANI mengenai pelbagai topik untuk Bajet 2014 yang akan dibentangkan bulan depan.

Minggu lepas, astroawani.com bertanyakan pembaca: "Apa pendapat anda tentang sistem pendidikan sekarang?” dan “Kenapa anda menghantar anak anda ke kelas tuisyen?”

Bagi soalan pertama, mereka yang mengundi bahawa ia "tidak relevan dengan kehidupan dunia sebenar” mendapat paling banyak undian dan diikuti dengan “terlalu berorientasikan peperiksaan ". Kedua-dua kategori itu mengumpulkan sejumlah 70% pengundi.

Bajet2014



Pada masa yang sama, kurang daripada 6% mengundi bahawa sistem pendidikan sedia ada “Komprehensif dan mencukupi untuk menyediakan pelajar bagi dunia pekerjaan.”

Bagi topik tuisyen pula, sejumlah 63% ibu bapa yang memberikan respon kepada tinjauan itu berkata bahawa mereka menghantar anak-anak ke pusat itu “Untuk memastikan mereka memahami mata pelajaran.”

Terdapat juga yang memilih “untuk memenuhi masa mereka”

infografik
Sementara itu, di bawah ini adalah antara komen yang dikumpul menerusi inisiatif kerajaan untuk mengumpul maklum balas orang ramai mengenai bajet di http://www.1malaysia.com.my/bajet2014.

Muhammad Hafizi Abdul Halim mencadangkan kerajaan menyediakan khidmat seorang kerani bagi kerja mengurangkan beban guru.

“Sebagai contoh bebanan tugasan pentadbiran seperti yuran, memasukkan markah ke dalam sistem, senarai kelas dan sebagainya akan dapat dikurangkan. Ini dapat membantu mengurangkan beban guru disamping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Malaysia.”

Untuk Aiman Mohd Yusof pula, beliau merasakan kerajaan perlu “mengurangkan bayaran balik PTPTN mengikut CGPA”

“Pengecualian bayaran balik hanya kepada mereka yang mendapat CGPA 4.00 dilihat sedikit tidak adil.”

“Kerajaan harus melihat juga kepada nasib mereka yang mendapat CGPA 3.99 sehingga 3.50 yang mungkin telah berusaha keras untuk mendapat CGPA terbaik, tetapi sedikit kurang bernasib baik tidak mendapat CGPA 4.00.”