Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan diskaun 20 peratus diberikan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika membayar balik pinjaman mereka sepenuhnya sehingga 31 Mac tahun depan.

Beliau turut mengumumkan mereka yang tidak dapat berbuat demikian masih boleh mendapatkan potongan 10 peratus daripada pinjaman mereka jika mereka membuat bayaran berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015.

Pengumuman diskaun 20 peratus ini mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan peminjam PTPTN.

Amzar Anaqi, 25, berkata pengumuman diskaun ini memberi kebaikan untuk peminjam PTPTN untuk mula membayar semula pinjaman.

“Sekurang-kurangnya kepada mereka yang masih belum bayar PTPTN (seperti saya) akan tergerak hati untuk mula membayar.

“Tapi bagi saya, jikalau diskaun tidak banyak mana pun, masih okay,” tambah beliau yang kini bekerja sendiri dalam bidang produksi.

Izzah Syazana, 26, seorang penjawat awam dari Sabah berkata diskaun ini dapat mengurangkan beban peminjam yang belum mempunyai kerja tetap.

“Selepas bergraduasi sejak Oktober 2011, saya ada cuba untuk membayar secara perlahan-lahan. Kadang-kadang RM 50, kadang-kadang RM 100 sebulan. Namun belum stabil nak bayar tiap bulan sebab gaji saya hanya cukup-cukup.

“Saya amat bersetuju mengenai diskaun kepada peminjam PTPTN kerana dapat mengurangkan beban bagi mereka yang bergaji dua ribu ke bawah. Ditambahkan lagi dengan kos hidup pada akhir 2014 dan menjelang tahun 2015 yang mula menampakkan semakin meningkat. Memang merisaukan dan menjadi masalah kepada peminjam untuk membayar PTPTN setiap bulan,” tambah beliau yang juga kini membuat perniagaan sampingan.

Sementera itu Intan Nur Diyana, 23, seorang pembantu setiausaha dari Cheras berkata diskaun itu masih tidak cukup bagi peminjam PTPTN untuk membayar sepenuhnya memandangkan ramai graduan susah mendapat kerja ketika ini.

“Diskaun ini okay namun agak susah bagi mereka yang bekerja makan gaji untuk membayar sepenuhnya sehingga 31 Mac tahun depan.

“Terutama sekali jika bagi mereka yang mempunyai gaji permulaan RM2300, tidak cukup untuk membayar pinjaman PTPTN yanng nilainya kira-kira RM19 ribu sepenuhnya” tambah beliau.

Selain itu Kamal Muhsin, 26, seorang pelajar Ijazah Sarjana dari UiTM berkata diskaun pinjaman ini membantu peminjam PTPTN untuk membayar semula.

“Namun bagi mereka yang fresh graduates, walaupun terdapat diskaun namun susah nak bayar balik sebab stabilti kewangan. Sebab sekarang susah nak dapat kerja,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sejak penubuhan PTPTN pada tahun 1997 sehingga kini, 2.1 juta peminjam telah mengambil pinjaman bernilai RM47.8 bilion.

"Bagaimanapun, setakat 31 Ogos tahun ini, hanya RM5.36 bilion atau 46 peratus daripada RM11.76 bilion telah dikumpul," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Parlimen semalam.