Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelepasan GST bagi bahan api.

Ia membabitkan petrol RON 95, diesel dan gas masak LPG.

Lebih RM21 bilion diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel, dan LPG ini.

Kesannya, peruntukan subsidi meningkat 14 kali ganda daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013.

Ini bagi mengekalkan harga runcit petrol yang rendah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013.

Selain itu, menerusi pelaksanaan GST, sebanyak 532 daripada 944 barangan dan perkhidmatan di bawah indeks harga pengguna dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus.

Antara produk yang mengalami penurunan harga adalah:

1. Ubat-ubatan
2. Barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh
3. Produk tekstil
4. Barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut, dan selipar
5. Perabot rumah
6. Lampin bayi, sabun, daging, telur ayam, minyak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran

Berikut pula adalah senarai barang makanan dan perkhidmatan asas yang tidak dikenakan GST:

1. Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport.
2. Roti putih dan roti 'wholemeal'.
3. Serbuk kopi, teh dan koko.
4. Mi kuning, kuey teow, laksa dan bihun.
5. Ubat-ubatan penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubatan ini adalah untuk kegunaan rawatan 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan.
6. Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku altihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama.
7. Surat khabar.

Bagaimanapun, sekitar 354 jenis barangan dan perkhidmatan dijangka mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus.

Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. Ini membawa kepada 70 peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung.

Dengan pelaksanaan GST, pada 2015 hasil kutipan dianggarkan berjumlah RM 23.2 bilion.

Kerajaan juga bersetuju mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion.

Selain itu, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga akan dimansuhkan di mana ia dianggarkan sebanyak RM13.8 bilion.

Ini menjadikan baki kutipan oleh kerajaan adalah sebanyak RM5.6 bilion.