Bajet 2015 yang dibentang pada Jumaat dilihat menyokong pertumbuhan ekonomi yang disuntik dan diumum pada Bajet 2014 tahun lepas.

Timbalan Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Madya Nora'ani Mustapha berkata, kebanyakan pengumuman yang dibentang membantu pencapaian negara maju selain pembangunan modal insan serta keusahawanan.

"Sebenarnya bajet ini adalah susulan pembentangan tahun lepas yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi.

"Keseluruhannya membantu pencapaian negara maju dan modal fiskal semua hala tuju kepada Wawasan 2020 iaitu mencapai negara maju.

"Kita juga lihat perkembangan ini sudah dipupuk daripada peringkat awal, peringkat sekolah dan universiti," katanya kepada Astro AWANI di sini semalam.

Bajet 2015 digubal berfokuskan kepada Ekonomi Keperluan rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama.

Antaranya, pelaksanakan Pelan Tindakan Sektor Perkhidmatan, Skim Insentif Penyelidikan bagi Perusahaan (RISE) dengan peruntukan RM10 juta dan memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport (SEF) berjumlah RM300 juta.

Jelas Nora'ani lagi, fokus peningkatan peruntukan yang diberi untuk pemerkasaan peranan wanita dalam bidang usahawan turut mendapat pujiannya.

"Satu saranan baik dan peruntukan besar untuk perkasa peranan wanita dalam sektor keusahawanan sedia ada dengan projek pelbagai program.

"Saya nampak usaha perkasa wanita dari segi keusahawanan dengan jumlah peruntukan menerusi Bank SME dan agensi kewangan lain dengan peruntukan kadar bunga rendah memberi kesan positif kepada golongan berkenaan," ujarnya.

Katanya, ia sekali gus memperkukuh ekonomi dan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain pada masa sama mengurangkan defisit kerajaan sendiri.