Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berharap kerajaan akan menambah peruntukan bagi meningkatkan pembangunan kawasan luar bandar khususnya di Sabah termasuk di Beaufort, dalam Belanjawan 2015.

Azizah yang juga anggota Parlimen Beaufort berkata peruntukan itu dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk luar bandar terutama dari segi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Dalam belanjawan ini, kita berharap agar lebih banyak PPR akan dibina di daerah itu bagi memenuhi permintaan daripada masyarakat setempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program Semarak Rakyat Komuniti 1Malaysia peringkat Beaufort anjuran Jabatan Penerangan, di sini, malam tadi.

Azizah berkata peruntukan kepada jabatan dan agensi kerajaan lain juga perlu ditambah bagi membolehkan latihan serta kursus dapat dijalankan kepada golongan belia dan beliawanis bagi melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran.

"Sebagai contoh, daerah ini diapit oleh Kimanis dan Sipitang yang mengusahakan minyak dan gas, mungkin penduduk di sini belum bersedia bekerja, maka mereka perlu diberikan latihan yang boleh diikuti di Kolej Komuniti yang ada di sini," katanya.

Terdahulu, Azizah ketika berucap berkata penganjuran program Semarak Komuniti 1Malaysia itu merupakan satu daripada program yang mampu memperkasakan semangat perpaduan dan kerjasama pelbagai kaum di samping meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat secara amnya.

"Oleh itu, penganjuran program ini merupakan satu langkah yang tepat dalam menyebarluaskan maklumat yang sahih dan telus kepada masyarakat sama ada di kawasan badar mahupun luar bandar," katanya.

Belanjawan 2015 dijangka dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt ini.