Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggap peruntukan sebanyak RM9.1 billion dalam Bajet 2015 dapat memantapkan keupayaan dan kapasiti pasukan keselamatan itu dalam memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan Jumaat malam berkata penambahan sebanyak 11,757 penjawatan anggota polis dan sebanyak 1,000 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pasti akan membantu pasukan itu dalam usaha memerangi jenayah lebih berkesan.

"URB telah terbukti berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah pecah rumah, di mana statistik kes pecah rumah bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Mengenai peruntukan untuk membina 14 Ibu Pejabat Polis dan Balai Polis, Khalid berkata khususnya di kawasan yang merekodkan kadar jenayah yang tinggi sudah pasti akan dapat meningkatkan keupayaan PDRM untuk memerangi jenayah di kawasan berkenaan.

Beliau mengulas laporan Bajet 2015 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM9.1 bilion kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata kepada Bernama penambahan bajet sebanyak RM0.3 bilion berbanding tahun lepas (RM8.8 bilion) itu akan digunakan bagi menjayakan semua program dan aktiviti kepolisan.

"Kerajaan amat prihatin terutamanya dari konteks isu di Sabah, penubuhan batalion baharu dan penambahan anggota seterusnya dapat mengukuhkan lagi keselamatan yang memang perlu dimantapkan di Pantai Timur Sabah khususnya, dan kawasan-kawasan lain di sekitar Sabah," katanya.

Mengenai peruntukan sebanyak RM121 juta bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), beliau berkata peruntukan itu mampu mempertingkatkan dan mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar melahirkan kesyukuran kerana Bajet 2015 memperuntukkan RM393 juta kepada agensi itu.

"Ia akan meningkatkan moral dan tahap kenyakinan tinggi kepada warga kerjanya," katanya.