Kira-kira 10,000 orang penduduk dari lapan buah kampung di Kudat, Sabah, menarik nafas lega, selepas banjir yang berlaku sejak tengah hari tadi, semakin surut malam ini.

Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Gumpa, Kampung Bak-Bak, Kampung Korina, Kampung Tamalang, Kampung Sikuati, Kampung Barambangon, Kampung Andap Jawa dan Kampung Pangaraban.

Pegawai Daerah Kudat Sabdin Ibrahim berkata hanya Kampung Korina sahaja yang belum ada penduduk yang dipindahkan ekoran paras air Sungai Korina yang masih rendah iaitu pada 2.49 meter.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di pekan Pitas sedikit meningkat malam ini iaitu kepada 131 orang daripada 39 buah keluarga berbanding 103 orang daripada 33 buah keluarga petang tadi.

Pegawai Daerah Pitas Bubudan Oti Majalu berkata semua mangsa ditempatkan di dua buah pusat pemindahan banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan Rukom dan Dewan Kampung Sinukab.

"Pihak kami kini dalam langkah berjaga-jaga dan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti kawasan dilanda banjir yang memerlukan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya.

Sementara itu, banjir di beberapa negeri lain tidak menunjukkan perubahan seperti di Kelantan, jumlah mangsa banjir masih kekal seperti petang tadi dengan 1,415 daripada 343 keluarga ditempatkan di 21 pusat pemindahan.

Di PAHANG, jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan turut tidak berubah di mana jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri berkata terdapat 930 orang di tiga pusat pemindahan di Temerloh.

Di PERAK pula, jumlah mangsa banjir sedikit menurun iaitu daripada 1,918 petang tadi kepada 1,689 orang malam ini yang terdiri daripada 458 keluarga.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata terdapat 1,472 orang mangsa di Perak Tengah, Hilir Perak (183 orang), Hulu Perak (34 orang) dan kesemua mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir.

Sementara di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri menyatakan sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang masih berada di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Spang Loi, Mukim Buloh Kasap, Segamat, sehingga malam ini.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata laluan FT 62 Jalan Pekan Tajau-Bandar Jengka, Maran yang ditutup sejak 11 Januari lepas kerana mendap, kini kembali dibuka untuk lalu lintas.

"Kerja pembaikan telah dilaksanakan menggunakan kaedah pemasangan jambatan 'bailey', dan laluan itu mula dibuka 7 malam ini dan disahkan selamat untuk pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan.