Banjir besar yang melanda Pahang baru-baru ini, mengakibatkan kerosakan terhadap 73 buah masjid, 65 surau dan lima sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohamad Noor Abdul Rani bagaimanapun, berkata jumlah kerugian akibat kerosakan itu belum diketahui kerana taksiran kerugian di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

"Banjir yang berlaku menyebabkan banyak telekung, sejadah dan Al-Quran serta pembesar suara rosak teruk kerana tidak sempat diselamatkan," katanya pada majlis penyerahan Perwakafan Al-Quran oleh rakyat Singapura kepada masjid-masjid di Pahang yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah Al Haj di sini, pada hari Selasa.

Pada majlis itu, Pengarah Syukran International Ismail Sapari menyampaikan 1,000 naskah Al-Quran yang dikumpulkan oleh Syukran International, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Singapura yang aktif dalam kegiatan dakwah.

Mohamad Noor turut berterima kasih kepada pelbagai NGO, pelajar universiti serta orang perseorangan yang tidak putus-putus menyumbangkan wang dan tenaga untuk membersihkan semua masjid dan surau yang terjejas banjir.

"Saya dimaklumkan oleh orang masjid, surau atau sekolah agama bahawa mereka tidak mengenali pun sesiapa yang datang membantu. Malah, sukarelawan ini membawa bersama makanan dan minuman mereka kerana tidak mahu menyusahkan 'tuan rumah'," katanya.

Untuk rekod, Al-Quran yang rosak akibat banjir akan dikumpulkan oleh pihak pengurusan masjid dan akan dihantar ke dua pusat pelupusan kitab suci itu di Masjid Bukit Rangin di sini, dan Masjid Temin, Jerantut.

Al-Quran itu akan dibakar dan debunya akan dikumpul untuk dilupuskan dengan sempurna.

Sementara itu, Ismail berkata sebanyak 68 buah masjid di Singapura menyediakan tabung bantuan untuk mangsa banjir di Malaysia, yang dikumpulkan selepas solat Jumaat.

"Kami juga menggunakan laman sosial Facebook untuk bertanya kepada umat Islam di Singapura yang berminat untuk mengambil bahagian mewakafkan Al-Quran," katanya.

Ismail berkata sebanyak 1,000 naskah Al-Quran juga dihantar ke masjid-masjid yang terjejas banjir di Kelantan.