Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan penurunan tengah hari ini, bagaimanapun mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat di Sabah.

Di SARAWAK, mangsa banjir direkodkan sebanyak 3,400 orang di 14 pusat pemindahan berbanding pagi tadi iaitu 5,631 orang di 38 pusat pemindahan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata di bahagian Kuching, 19 pusat pemindahan banjir sudah ditutup sejak pagi ini, menjadikan jumlahnya kini tinggal dua, menempatkan 766 mangsa.

Katanya tiga pusat pemindahan di bahagian Samarahan kini menempatkan 1,318 mangsa manakala enam pusat pemindahan di bahagian Limbang menempatkan 1,216 mangsa.

Beliau berkata di bahagian Mukah pula masih terdapat 69 mangsa di dua pusat pemindahan manakala Miri kekal 31 mangsa di sebuah pusat pemindahan di kawasan Long Panai.

Di SABAH, mangsa banjir terus meningkat kepada 2,394 orang daripada 1,008 keluarga di tiga daerah di negeri itu, berbanding pagi tadi iaitu sebanyak 1,556 orang.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shahid Othman berkata jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di daerah berkenaan ialah 1,218 orang daripada 397 keluarga.

Di daerah kecil Membakut, jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan setakat tengah hari ini ialah 1,116 orang daripada 598 keluarga.

Penolong Pegawai Daerah Membakut, Sarudin Ismail bagaimanapun berkata jumlah mangsa banjir di empat lagi pusat pemindahan yang dibuka di daerah berkenaan hari ini sedang dikemas kini.

Penolong Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah pula berkata jumlah mangsa banjir di daerah itu kekal 60 orang daripada 13 keluarga.

Di KELANTAN dan PERAK, jumlah mangsa kekal seperti yang direkodkan pagi tadi iaitu masing-masing 255 dan 77 orang.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha (Pengurusan Keselamatan) MKN Ogu Salim Omar berkata MKN bersedia sepenuhnya sekiranya situasi banjir yang sedang berlaku di Sarawak dan Sabah itu bertambah teruk.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat mengenai persiapan menghadapi banjir bersama agensi berkaitan.

"Mesyuarat berkenaan dijalankan sebelum musim tengkujuh lagi dan segala persiapan dirasakan mencukupi, berdasarkan pengalaman kami menghadapi banjir di Sarawak pada tahun lepas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Depoh Tindak Balas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD), Petaling Jaya dekat sini hari ini.