Banjir mula melanda Kedah dengan sekurang-kurangnya 51 orang di beberapa kawasan di negeri ini terutama di daerah Padang Terap dipindahkan sejak tengah hari ini.

Selain Kedah, negeri lain yang dilanda banjir ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis.

Sehingga kini, dua pusat pemindahan banjir dibuka di Padang Terap bagi menampung mangsa banjir berikutan hujan sejak beberapa hari lalu.

Penolong Setiausaha Tentera Majlis Keselamatan Negara Kedah, Mejar Mohd Radzi Abd Hamid sebuah pusat pemindahan telah dibuka di Kampung Chepa, Nami, yang menempatkan 19 mangsa daripada dua keluarga.

"Ini berikutan limpahan air Sungai Pedu dan Sungai Muda dan kita percaya keadaan ini hanya sementara, dan mangsa akan dibenarkan pulang petang nanti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebuah pusat pemindahan lagi dibuka di Dewan Petunas Lubuk Merbau yang menempatkan 11 mangsa dari Kampung Lubuk Merbau, 21 dari Kampung Baru Lubuk Merbau dan sejumlah mangsa yang bilangannya belum dikenal pasti dari Kampung Dusun.

Di TERENGGANU, keadaan banjir tidak menampakkan tanda akan reda dengan jumlah mangsa meningkat kepada 29,059 orang tengah hari ini berbanding 28,991 pada sebelah pagi.

Kemaman mencatat 19,477 mangsa terjejas, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu yang turut menyenaraikan bilangan mangsa di Besut (490), Dungun (6,285), Hulu Terengganu (1,078), Kuala Terengganu (1,612) dan Marang (115).

Keadaan di daerah Setiu kembali pulih apabila 44 orang kumpulan mangsa terakhir di tiga pusat pemindahan kembali ke rumah masing-masing berikutan air di kawasan kediaman mereka surut.

Sehingga kini, bilangan pusat operasi mengikut daerah ialah lima di Besut, Dungun (33), Hulu Terengganu (12), Kemaman (54), Kuala Terengganu (12) dan Marang (dua).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di sembilan jajahan meningkat sedikit pada tengah hari ini iaitu 32,731 orang berbanding 32,343 orang pada sebelah pagi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, bacaan paras air sungai terus naik melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan di Tambatan Diraja. Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turut melepasi paras bahaya.

Keadaan cuaca pada sebelah tengah hari adalah mendung.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 24,316 orang daripada 6,398 keluarga di lapan daerah yang terlibat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Kuantan masih merekodkan jumlah pemindahan paling banyak iaitu 14,350 mangsa melibatkan 4,119 keluarga di 44 pusat pemindahan.

Di PERLIS, angka mangsa banjir yang dipindahkan sehingga tengah hari bertambah kepada 278 orang berbanding 265 orang pada sebelah pagi.

Mereka kini berada di lima pusat pemindahan iaitu Maktab Rendah Sains MARA Beseri, Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Dewan Malau, Dewan Beseri Dalam dan Dewan Seri Pilihan.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan semakin meningkat petang ini iaitu 5,083 orang daripada 1,246 keluarga berbanding 4,335 orang daripada 1,079 keluarga pagi ini, di 46 pusat pemindahan.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak, mangsa yang terjejas di daerah Perak Tengah semakin meningkat apabila 1,627 orang dipindahkan petang ini berbanding 953 orang di sebelah pagi.

Dua pusat pemindahan baharu turut dibuka di kawasan Lambor menjadikan kesemua lapan pusat dibuka setakat petang ini.

Kuala Kangsar yang meliputi kawasan Sungai Siput masih mencatat bilangan tertinggi mangsa banjir terkini 2,842 orang daripada 665 keluarga dan 25 pusat pemindahan dibuka.

Hulu Perak yang melibatkan kawasan Lenggong pula mencatat 614 mangsa.