Keadaan banjir di Sarawak semakin reda dan semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Paon di Jalan Lundu-Sematan, kira-kira 100 kilometer dari sini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Susulan itu, pusat berkenaan ditutup pada 1 tengah hari tadi, kata Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MNK) Sarawak Salihin Annuar.

Beliau berkata mulai semalam, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) MKN Sarawak hanya beroperasi antara 8 pagi dan 10 malam berbanding 24 jam sejak awal Januari lepas.

Bagaimanapun, orang ramai masih boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan banjir di seluruh negara dengan melayari www.portalbencana.mkn.gov.my.

Tinjauan ke portal bencana MKN petang ini mendapati tiada lagi paparan maklumat mengenai banjir di mana-mana tempat di seluruh negara.

Salihin berkata di bahagian Betong, seramai 151 penghuni dua rumah panjang masih ditempatkan di Dewan Panglima Rentap, Betong dan Klinik Kesihatan Nanga Budu, Saratok.

Ini kerana kediaman mereka tidak selamat diduduki ekoran kejadian tanah runtuh akibat banjir di kawasan berkenaan beberapa hari lepas, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata penilaian teknikal sedang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menentukan tahap keselamatan struktur bangunan kediaman Rh. Anji di Mupoh Baruh, Betong dan Rh. Ali Krangan, Saratok.

Salihin berkata kawasan-kawasan rendah dan berhampiran sungai di beberapa tempat di seluruh negeri ini masih digenangi air, namun keadaan terkawal.

Agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan banjir seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta pelbagai agensi lain yang diselaras Pejabat Residen Bahagian, masih bersiap sedia untuk sebarang operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.