Sumbangan 2,500 kilogram beras kepada mangsa banjir daripada Pasukan Petugas Tentera Diraja Thailand merupakan tanda persahabatan di antara Malaysia dan negara jiran itu yang terjalin sejak sekian lama.

Panglima 8 Briged Brig Jen Datuk Azmy Yahya berkata ia menunjukkan semangat kerjasama, bukan sahaja daripada aspek operasi dan latihan malah bantuan kemanusiaan terutama dalam keadaan bencana.

"Bagi pihak Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha yang mengarahkan pasukan ini membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berkenaan di Wisma Perwira, Markas 8 Briged di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Komander Pasukan Petugas Narathiwat Kolonel Khas Pairat Kaewsri.

Azmy berkata pihaknya akan mengenal pasti kawasan terjejas banjir untuk diagihkan bekalan makanan yang diperlukan mangsa.

Sementara itu Pairat berkata, selatan Thailand juga terjejas banjir bulan lepas dan mereka prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di negara ini.

"Ia berikutan hubungan antara Malaysia dan Thailand yang begitu rapat.

"Justeru itu, Perdana Menteri arahkan kami untuk beri bantuan kepada Malaysia walaupun selatan Thailand juga terjejas banjir.

"Perdana Menteri berusaha untuk membantu mangsa banjir di negara ini," katanya dalam bahasa Thai dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh penterjemah.