Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sabah meningkat pagi ini kepada 1,233 orang berbanding 1,214 orang malam tadi.

Di Beaufort, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir berkata bilangan mangsa di dua pusat pemindahan kekal 195 orang daripada 42 keluarga sementara di Membakut, dua pusat pemindahan di Dewan Baru Membakut dan SMK Beaufort Dua merekodkan peningkatan jumlah mangsa seramai 1,038 orang berbanding 1,019 orang semalam.

Di Sarawak, keadaan beransur pulih dengan 1,684 orang berada di pusat pemindahan berbanding 1,752 orang malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata sembilan pusat pemindahan masih beroperasi dengan Bahagian Samarahan menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 788 orang, Limbang (570), Miri (249) dan Mukah (77).

Di Kelantan, jumlahnya kekal 255 orang daripada 62 keluarga di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.
Jurucakap MKN berkata sehingga pukul 8 pagi, kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran banjir bulan lepas.