Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak yang ditempatkan di pusat pemindahan dilaporkan meningkat walaupun cuaca di beberapa tempat dilaporkan baik pagi ini.

Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu mencecah 8,880 orang, meningkat sebanyak 1,468 orang berbanding malam tadi.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri-negeri terjejas banjir ialah 9,212 orang berbanding 7,517 orang, malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,577 orang daripada 1,743 keluarga berbanding 4,118 orang daripada 1,198 keluarga, malam tadi.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shahid Othman berkata jumlah mangsa banjir di enam pusat pemindahan di daerah itu meningkat kepada 1,442 orang daripada 466 keluarga berbanding 1,310 orang daripada 423 keluarga malam tadi.

Penolong Pegawai Daerah Membakut Sarudin Ismail pula berkata jumlah mangsa banjir di lima pusat pemindahan banjir di daerah kecil itu meningkat kepada 4,004 orang daripada 1,242 keluarga manakala jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Sipitang berkata jumlah mangsa banjir kekal seperti malam tadi iaitu 131 orang daripada 35 keluarga.

Di SARAWAK, walaupun cuaca dilaporkan bertambah baik namun fenomena air pasang besar menjadi faktor kepada peningkatan mangsa banjir daripada 3,076 malam tadi kepada 3,303 pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata Samarahan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,397 orang di enam pusat pemindahan diikuti Limbang (1,219 orang di enam pusat pemindahan); Kuching (379 orang di satu pusat pemindahan); Miri (225 orang di satu pusat pemindahan) dan Mukah (83 orang di satu pusat pemindahan).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir pada pagi ini kekal 77 orang daripada 18 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan dengan Perak Tengah menempatkan sebanyak 43 orang manakala di Hilir Perak (34).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 255 orang daripada 62 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Jurucakap MKN Negeri Kelantan berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran kediaman mereka hanyut serta musnah teruk dalam kejadian banjir yang melanda bulan lepas.