Jumlah mangsa banjir di Sabah pagi ini meningkat kepada 976 orang berbanding 731 semalam manakala mangsa di Sarawak menurun kepada 8,198 orang berbanding 10,512 semalam.

Bagi Kelantan dan Perak, jumlah mangsa kekal seperti malam tadi iaitu masing-masing 255 dan 78 orang.

Di SABAH, Pegawai Daerah Beaufort Shahid Othman berkata daerah itu merekodkan 414 mangsa daripada 146 keluarga manakala Membakut merekodkan 300 mangsa daripada 99 keluarga dan Tenom dengan 262 mangsa daripada 75 keluarga.

Di SARAWAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata bilangan mangsa di Limbang bertambah sedikit kepada 1,224 orang berbanding 1,018 orang semalam.

Menurutnya Kuching mencatatkan 4,817 mangsa berbanding 7,337 malam tadi manakala mangsa banjir di Samarahan dan Mukah masing-masing kekal 2,079 orang dan 78 orang.

Bilangan pusat pemindahan di Sarawak kini berjumlah 45 berbanding 54 semalam, dengan sembilan pusat ditutup di Kuching menjadikan jumlahnya kini 26.

Laporan menyatakan beberapa tempat di kawasan hulunya seperti di Ulu Baram dan Ulu Limbang masih mengalami hujan lebat sekali sekala.

Di PERAK, jumlah mangsa kekal 78 orang daripada 19 keluarga iaitu di Perak Tengah dengan 44 mangsa dan Hulu Perak 34 orang, kata jurucakap MKN Perak.

Di KELANTAN, bilangan mangsa banjir pagi ini kekal 255 orang melibatkan 62 keluarga di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Jurucakap MKN Kelantan berkata sehingga 8 pagi ini, kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir yang berlaku bulan lepas.

Keadaan cuaca dilaporkan cerah.