Pusat pemindahan di Balai Raya Skim Skrang, Engkilili, Sri Aman ditutup pagi tadi dan semua 45 mangsa daripada 15 keluarga yang ditempatkan di situ sudah kembali ke rumah masing-masing.

Manakala di Bahagian Betong, jurucakap Bilik Gerakan Bencana Banjir Bahagian Betong, Shirala Kay memberitahu Bernama bilangan mangsa yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan bertambah tengah hari ini dengan 93 mangsa daripada 18 keluarga berada Dewan Panglima Rentap berbanding 24 mangsa daripada 16 keluarga pagi tadi.

Beliau berkata di dua pusat lain, jumlah mangsa tidak berubah iaitu 126 orang di Dewan Perpaduan Debak dan 75 orang di Rumah Henry Lubok Banga, Ulu Krian.

Di Bahagian Sarikei, petugas Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Daerah Pakan, Mohd Raili Johari memberitahu, setakat tengah hari mangsa meningkat kepada 63 orang daripada 20 keluarga, berbanding 53 orang daripada 16 keluarga pagi tadi.

Menurutnya, mangsa adalah dari Rumah Jabang, Rumah Japong, Rumah Embas dan Nanga Wak yang kesemuanya dipindahkan ke Dewan Masyarakat Pakan sejak petang semalam.

Secara keseluruhan, jumlah mangsa yang masih berada di empat pusat pemindahan di negeri ini adalah 357 orang berbanding 389 orang pagi tadi.