Jepun, Australia dan sembilan negara lain dalam pakatan perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada Khamis telah mencapai persetujuan umum dalam rundingan bagi memuktamadkan satu perjanjian baharu tanpa Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

Kesemua negara bersetuju untuk menggantung sebahagian daripada peraturan perdagangan dan pelaburan yang termasuk dalam permuafakatan 12 negara asal TPP, sehingga AS kembali kepada rangka kerja pelbagai hala itu.

Mereka bersetuju untuk melaksanakan akses pasaran asal TPP, termasuk penghapusan atau pengurangan tarif dalam sektor pertanian dan perindustrian, secara am.

Kesemua negara mencapai persetujuan umum itu dalam mesyuarat peringkat menteri yang bermula di Da Nang pada Rabu.

Perjanjian baharu TPP itu amat penting dalam membentuk peraturan baharu di rantau Asia-Pasifik yang bebas dan adil, kata Menteri Ekonomi dan Polisi Fiskal Jepun Toshimitsu Motegi pada satu sidang berita.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe telah melahirkan pandangan bahawa persetujuan umum itu adalah satu langkah penting ke arah strategi pertumbuhan beliau, menurut Motegi.

Perbincangan berkaitan TPP asal bermula pada bulan Mac 2010.

Jepun, AS dan 10 negara lain telah mencapai persetujuan umum berhubung perjanjian itu pada Oktober 2015 dan telah memeterainya pada Februari 2016.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump telah menarik negaranya keluar dari TPP selepas pelantikannya dalam bulan Januari tahun ini, menyebabkan 11 negara yang masih kekal mempertimbang satu perjanjian baharu.

TPP asal diperlukan untuk disahkan oleh enam negara yang menyumbang 85 peratus daripada gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota.

Negara lain menyumbang 14 peratus daripada KDNK global, berbanding 38 peratus di 11 negara termasuk AS.

Kesemua 11 negara dijangka memeterai perjanjian baharu TPP menjelang akhir separuh pertama tahun 2018.

Bagaimanapun, pakatan baharu itu tidak akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga dua tahun kerana sesetengah negara berdepan kesulitan dalam mengesahkannya, kata sumber yang sudah biasa dengan situasi tersebut.

-- BERNAMA