Kerajaan disaran mengambil tindakan agresif bagi mendapatkan ganti rugi daripada Goldman Sachs berhubung kesan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjejaskan reputasi negara.

Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Amerika Syarikat telah memulakan pendakwaan tetapi Malaysia juga perlu ambil tindakan untuk menuntut kembali komisen berjumlah US$600 juta yang terlibat.

"Bukan sahaja tuntut komisen, Malaysia juga perlu menuntut ganti rugi imej kita yang telah terjejas."Saya percaya kerajaan harus ambil langkah ini untuk mendapatkan pulangan hasil jauh lebih daripada komisen yang diserahkan kepada Goldman Sachs," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata dalam satu wawancara bersama BFM89.9 pada Isnin bahawa Malaysia akan menuntut balik semua fi dan bayaran daripada Goldman Sachs.