1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang mengkaji dan mengambil segala langkah yang perlu untuk membuktikan International Petroleum Investment Co (IPIC) dan Aabar Investments PJS bertanggungjawab ke atas dana yang dibayar 1MDB kepada Aabar BVI berjumlah US$3.5 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat berkata masih terlalu awal untuk merumuskan bahawa terdapat penipuan dalam transaksi dan urusan berkaitan 1MDB dan IPIC.

"Untuk makluman Dewan yang mulia ini, berikutan pertikaian di antara 1MDB dan IPIC. 1MDB mahupun anak syarikatnya, 1MDB Energy (Langat) Limited ("Bon Langat") dan 1MDB Energy Limited ("Bon Energy") masih belum membuat pembayaran faedah bon dan kini berada di dalam situasi ingkar (default) mengikut terma-terma Bon Langat dan Bon Energy.

BACA: IPIC belum bayar faedah nota AS$1.75 bilion yang matang pada 2022 - 1MDB

"Justeru itu, pihak IPIC telah menjelaskan pembayaran faedah bon-bon tersebut di bawah peruntukan jaminan IPIC," kata Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan menjawab soalan diajukan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang meminta menteri bertanggungjawab menyatakan bilakah Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy akan meletakkan jawatan dan adakah ia kerana penipuan dalam IPIC dan Aabar yang melibatkan US$3.5 bilion.

Kementerian Kewangan melalui siaran media di laman web rasminya pada 4 Mei lalu telah mengumumkan bahawa Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebagai pemegang saham 100 peratus 1MDB telah bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporan Kawalan Pengurusan Urus Tadbir Syarikat 1MDB.

Antaranya termasuk MKD telah mengesahkan menerima tawaran peletakan jawatan Lembaga Pengarah 1MDB berkuat kuasa 31 Mei akan datang dan akan melantik Lembaga Pengarah yang baharu sementara Arul Kanda akan kekal sebagai Presiden 1MDB sehingga notis selanjutnya.