1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah melangsaikan bayaran kepada International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC), kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Bayaran itu bertarikh luput 31 Disember ini setelah bayaran pertama dibuat pada Ogos lepas.

"1MDB mengumumkan, selaras dengan persetujuan dengan Kementerian Kewangan Diperbadankan dan International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC), 1MDB sudah melangsaikan semua bayaran kepada IPIC yang diperlukan dijelaskan menjelang 31 Disember 2017,” kata firma itu.

1MDB berkata dana itu diterima hasil daripda proses rasionalisasi syarikat.

1MDB perlu membayar kepada IPIC sejumlah US$600 juta menjelang akhir tahun ini sebagai sebahagian perjanjian penyelesaian yang dipersetujui pada April.

Keseluruhannya, 1MDB perlu membayar US$1.2 bilion dengan separuh daripada jumlah itu sudah dibayar pada Ogos lepas.

IPIC dalam kenyataan kepada London Stock Exchange mengesahkan penerimaan bayaran berkenaan.

“IPIC telah menerima kesemua bayaran yang bertarikh luput 31 Disember di bawah perjanjian penyelesaian bersama Kementerian Kewangan Diperbadankan Malaysia dan 1MDB,” kata syarikat itu.