Surat Khidmat Runding Jatipadu untuk tawaran pelantikan sebagai pemaju bersama atau perunding bagi projek Tun Razak Exchange (TRX) adalah palsu, menurut 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE).

Pemaju utama projek itu, 1MDB RE berkata Khidmat Runding Jatipadu tidak diberi kuasa oleh 1Malaysia Development Bhd atau kerajaan untuk bertindak sebagai pengurus projek bagi pembangunan Bandar Malaysia dan TRX.

Dalam kenyataan hari ini, 1MDB RE berkata kedua-dua projek pembangunan strategik negara itu hanya diuruskan oleh syarikatnya.

"Pembangunan TRX pada masa ini tidak mencari pemaju bersama atau perunding.

Surat tawaran tersebut adalah palsu. Kami menggesa syarikat memeriksa mana-mana notis sedemikian dengan maklumat yang ada di www.1mdb.com.my atau www.bandarmalaysia.my," katanya.

Menurut syarikat, ia hanya membenarkan CH Williams Talhar dan Wong mendekati pihak ketiga untuk cadangan, berkaitan dengan Bandar Malaysia.