Pelaburan mudah cair merupakan sejenis pelaburan dimana kita boleh dengan pantas mengeluarkannya sebagai wang apabila perlu tanpa melalui proses yang panjang dan rumit.

Antara contoh pelaburan mudah cair adalah seperti simpanan tetap, dana bersama dan unit amanah atau amanah saham. Pelaburan seperti ini adalah pelaburan berbentuk wang.

Ia tidak sama dengan, contohnya, pelaburan hartanah ataupun pelaburan saham di mana jikalau anda ingin mengeluarkan wang, anda perlu melalui proses menjual hartanah atau saham tersebut.

Oleh kerana itu, kita boleh lihat bahawa pelaburan mudah cair sebenarnya satu jenis pelaburan yang agak berguna dan mempunyai pelbagai keistimewaan berbanding dengan jenis pelaburan lain.

1. Tidak perlu jumlah wang yang banyak

Sesetengah pelaburan mudah cair hanya mempunyai nilai minimum sebanyak RM500 hingga RM100.

Bandingkan ini dengan modal yang diperlukan untuk melabur dalam hartanah dimana kemungkinan besar wang pendahuluan boleh mencecah berpuluh ringgit.

2. Akses wang yang mudah

Seperti yang disebutkan tadi, oleh kerana pelaburan mudah cair adalah berbentuk wang, anda boleh mengeluarkan wang itu serta merta.

Ini adalah sangat berguna jikalau anda secara tiba-tiba ditimpa malang dan memerlukan wang dalam situasi kecemasan ataupun apa jua keperluan anda.

3. Jenis pelaburan yang kurang berisiko

Kebanyakan pelaburan mudah cair adalah pelaburan yang kurang berisiko kerana anda boleh mengeluarkan wang dengan serta merta dan jika mengalami kerugian, tidaklah begitu teruk.

Wang tempatan kebiasaannya mempunyai nilai yang sama dalam apa keadaan pun. Bandingkan dengan hartanah di mana nilainya mungkin jatuh dan anda boleh mengalami kerugian apabila menjualnya.

Tetapi, kerana ia berisiko rendah, ini bermakna bahawa keuntungannya juga tidak akan berlaku secara mendadak ataupun dengan margin yang besar.

4. Kepelbagaian pelaburan

Apabila anda melabur dalam bentuk dana bersama atau unit amanah, duit anda sebenarnya dilaburkan dalam dana yang pelbagai.

Contohnya, anda boleh memilih untuk melabur dalam dana sektor minyak dan juga dana sektor pembuatan. Kalau harga minyak jatuh (seperti keadaan sekarang), pelaburan anda masih stabil kerana anda juga melabur dalam sektor yang lain.

5. Memudahkan kelulusan pinjaman wang

Dengan kumpulan pelaburan mudah cair yang banyak, ia boleh memudahkan anda mendapat kelulusan pinjaman dari institusi kewangan seperti bank.

Ini adalah kerana ia menunjukkan bahawa anda mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar bakal ansuran anda dan juga bermaksud anda mempunyai disiplin yang tinggi.

-----------------------------
*Tulisan ini pertama kali tersiar di KopitiamEkonomi.com.
*KopitiamEkonomi merupakan satu inisiatif Program Transformasi Ekonomi untuk mendidik rakyat mengenai ekonomi.