Indonesia kini tidak lagi mempunyai kedai runcit franchais 24 jam 7-Eleven apabila kesemua kedai serbaneka itu akan ditutup mulai esok.

Penutupan kesemua 141 buah kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia, PT Modern International dalam satu kenyatannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

Media-media tempatan memetik Direktur PT Modern Internasional, Chandra Wijaya, sebagai berkata pemberhentian operasi kesemua kedai 7-Eleven itu adalah disebabkan masalah keterbatasan sumber dan urusan jual-beli saham perniagaan.

PT Modern International sebelum ini dilaporkan telah bersetuju menjual perniagaan rangkaian 7-Eleven Indonesia kepada PT Charoen Pokphand Restu Indonesia tetapi penjualan saham dan aset itu dibatalkan baru-baru ini setelah kedua-dua syarikat gagal mencapai kata sepakat.

Sehingga September 2016, terdapat 175 kedai 7-Eleven di Indonesia yang hanya beroperasi di Jakarta dan pada akhir tahun lepas lebih 20 kedai itu telah ditutup secara berperingkat atas alasan tidak menguntungkan.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai 7-Eleven telahpun menutup operasi mereka sejak minggu lepas lagi dengan meletakkan notis mengenai pemberhentian operasi.

Francais rangkaian 7-Eleven mula memasuki Indonesia pada 2008 dan dikelolakan oleh PT Modern Sevel Indonesia, anak syarikat PT Modern International.

Menurut laporan kewangan suku pertama 2017 PT Modern Internasional, hasil penjualan daripada 7-Eleven mengalami penurunan sebanyak 37.17 peratus daripada Rp220,66 juta (Rp1 juta lebih kurang RM300) kepada Rp138,62 juta.

Sementara itu Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita menyangkal dakwaan bahawa penutupan 7-Eleven itu menunjukkan kelembapan sektor peruncitan di Indonesia kerana masih banyak kedai runcit 24 jam tempatan beroperasi seperti biasa.

Katanya penutupan itu adalah disebabkan masalah dalaman dan kerugian yang dialami syarikat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk bertemu dengan pengurusan syarikat berkenaan bagimendapat maklumat lanjut mengenai penutupan kedai francais itu.

--BERNAMA