Sebanyak 92,682 perniagaan telah berdaftar di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 23 Okt lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daripada jumlah itu, 57,298 perniagaan berdaftar di bawah cukai perkhidmatan manakala 35,384 di bawah cukai jualan.

"Peniaga yang gagal mendaftar SST melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM30,000 atau pemiliknya boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang mahu kerajaan menyatakan jumlah syarikat yang telah berdaftar SST sehingga September 2018.

Lim berkata peniaga yang disabit kesalahan mengelak daripada membayar cukai akan dikenakan kompaun tidak lebih 50 peratus daripada jumlah denda maksimum.

Namun, beliau berkata memandangkan SST adalah cukai yang baru dilaksanakan pada 1 Sept lepas, Jabatan Kastam mengambil pendekatan yang lebih mesra, prihatin dan lembut.

"Kita nak gunakan pendekatan pendidikan, oleh itu pada masa ini kita masih berusaha menasihati syarikat-syarikat untuk segera berdaftar.

"Jabatan Kastam tidak bercadang ambil tindakan dulu tetapi kita akan beri tempoh dan kalau masih berdegil juga, baru ambil tindakan seperti yang saya nyatakan tadi," katanya.