Ternyata ahli Parlimen pembangkang kini semakin menerima secara terbuka berkenaan langkah kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Melalui pelbagai sesi taklimat dan bengkel, pembangkang sedikit sebanyak mula memahami kepentingan TPPA.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau termasuk pihak kementeriannya menerima pelbagai reaksi positif susulan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.

"Kita lihat mereka gembira selepas selesai sesi mendengar penjelasan mengenai TPP. Ada yang berjumpa saya dan berkata bengkel penerangan TPP ini adalah sesuatu yang baik kepada ahli-ahli Parlimen.

"Ini satu reaksi yang baik dan menunjukkan mereka gembira dengan penjelasan yang dibuat," katanya kepada pemberita pada sidang media Taklimat dan Bengkel TPPA bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Menara MITI di sini hari ini.

Menurut Mustapa, beliau telah menjawab semua soalan yang diajukan oleh ahli-ahli Parlimen khususnya dari pembangkang mengenai perkara itu.

Tambahnya, penjelasan itu sangat penting kerana ia dapat memberi kefahaman dan menangkis persepsi negatif terhadap TPP.

"Kita dah berjaya beri penerangan. Soal sokong atau tidak itu kita tunggu di Parlimen.

"Apa yang penting kita telah beri penjelasan dan menjawab semua soalan yang diajukan mengenai TPP," jelasnya.

Malah Mustapa juga berpuas hati dengan kehadiran ahli-ahli Parlimen yang hadir ke bengkel itu terutamanya dari pihak pembangkang.

Turut hadir di sidang media itu ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah.