Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd akan memulakan penerbangan dari Ipoh-Singapura-Ipoh mulai 2 Dis ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Beliau berkata, perkara itu disahkan pihak AirAsia pagi ini dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu.

"Mengikut jadual penerbangan setiap minggu akan ada empat kali penerbangan iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Kami gembira sebab perjalanan terus antarabangsa dari Ipoh dapat ditambah.

"Dengan penerbangan ini kita harapkan lebih banyak penerbangan antarabangsa lain akan ada di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh (IIFW) 2018 di Lost World Of Tambun di sini, hari ini.

IIFW'18 yang memasuki tahun kedua akan berlangsung selama tiga hari mulai 9 Nov ini dengan tema 'Even Bigger' dan bakal menampilkan rekaan 10 pereka fesyen terkemuka tanah air serta antarabangsa

Tan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah penerbangan antarabangsa termasuk dari Ipoh ke Thailand dan China sama ada secara terus atau sewa khas.

Pada masa ini, Perak menerima ketibaan penerbangan domestik dan antarabangsa dari beberapa syarikat iaitu Malindo, AirAsia, Firefly serta syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot.

Mengulas lanjut, Tan berkata penerbangan dari Singapura ke Ipoh dijangka tiba di LTSAS pada 9.45 pagi, manakala dari Ipoh ke Singapura akan berlepas 12.50 tengah hari.

"Dengan penyertaan AirAsia dalam laluan emas ini ia boleh memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dari segi harga yang lebih baik dan slot masa berlainan," katanya.

Mengenai cadangan membesarkan LTSAS, beliau berkata setakat ini lapangan terbang itu tidak mempunyai masalah untuk membolehkan kapal terbang jenis Boeing 737 dan Airbus jenis A320 berlepas atau mendarat.

"Setakat ini syarikat penerbangan tambang murah menggunakan kapal terbang jenis 737 dan A320, jadi landasan sepanjang dua kilometer sudah mencukupi," katanya.