AirAsia Bhd menambah sebanyak 43 penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching untuk memenuhi permintaan sempena perayaan Aidilfitri dari 8 hingga 25 Jun.

Dalam kenyataan hari ini, katanya penerbangan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar akan meningkat kepada 38 daripada 31 kali seminggu untuk perjalanan sehala; ke Langkawi (65 daripada 61 kali); ke Kuala Terengganu (39 daripada 35 kali); ke Kota Bharu (63 daripada 56 kali); dan ke Bandar Seri Begawan, Brunei (17 daripada 14 kali).

"Manakala, penerbangan dari Johor Bahru ke Tawau akan meningkat kepada tujuh daripada empat kali seminggu untuk perjalanan sehala; ke Kota Kinabalu (18 daripada 14 kali); ke Miri (enam daripada tiga kali); dan ke Sibu (11 daripada tujuh kali).

"Selain itu, penerbangan dari Kuching ke Sibu akan naik kepada 25 daripada 21 kali seminggu untuk perjalanan sehala," menurut AirAsia.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menawarkan promosi tambang termasuk semua mulai hari ini hingga 3 Jun, 2018 untuk tempoh perjalanan antara 4 Jun dan 30 Oktober, 2018.

Penumpang AirAsia juga digalakkan untuk berada di lapangan terbang tiga jam sebelum waktu berlepas dan daftar masuk melalui web, perkhidmatan mudah alih atau kiosk untuk mengelak kesesakan yang dijangkakan.

-- BERNAMA