AirAsia mengumumkan penerbangan laluan baru ke Luang Prabang Laos selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata ia satu pencapaian buat syarikat dalam usaha menawarkan laluan terbaru di rantau ini.

"Saya umumkan eksklusif kepada Astro Awani, kami baru sahaja dapat kebenaran terbang ke Luang Prabang.

"Aireen Omar (CEO AirAsia) bekerja keras untuk mendapatkan kebenaran dengan kerajaan Laos. Semalam beliau menghantar nota kepada saya menyatakan AirAsia mendapat kelulusan. Kami sangat teruja," katanya dalam temubual eksklusif bersama Astro Awani, baru-baru ini.

Luang Prabang menjadi laluan kedua syarikat penerbangan tambang rendah itu ke Laos selepas Vientiane.

Syarikat penerbangan itu memperkukuh usaha laluan serantau terutama Asean bagi menjadikan penerbangan mampu milik.

Tony pada masa sama memngkritik kadar pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang perlahan.

"Secara jujurnya, ia sedikit perlahan tahun ini dari segi perkembangan ASEAN. Dari pihak kami, kami terus bergerak kehadapan. Pasukan kami mengadakan perbincangan dengan sekretariat ASEAN. Ada dua bahagian kepada ASEAN.

" Kerjasama kerajaan ke kerajaan dan usaha pihak swasta. Kami gunakan platform sosial dan AirAsia Foundation. Kami terus menjadikan ASEAN lebih rapat. Semua orang berterima kasih kepada kami kerana membolehkan mereka terbang.

"Pas ASEAN kami membolehkan orang mengembara di serata ASEAN. Jadi kami terus mengintegrasikan ASEAN dan bekerjasama dengan kerajaan untuk memenuhi peraturan dan menjadikan ASEAN sebagai satu realiti. " Katanya.