AirAsia X Berhad (AAX) mencatatkan peningkatan pendapatan 35 peratus kepada RM883.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2016.

Ia disumbang peningkatan kekerapan penerbangan disokong permintaan lebih tinggi sepanjang tempoh itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, fokus syarikat adalah untuk mengekalkan momentum positif ini sepanjang tahun namun kekal berhati-hati dengan perkara yang di luar kawalan.

Ini termasuk ketidakstabilan nilai mata wang, ketidaktentuan pengawalseliaan dan cabaran luaran lain yang dijangka berterusan.

"Berdasarkan corak tempahan lebih awal, bilangan penumpang yang direkodkan untuk suku ketiga kelihatan amat menggalakkan. Ini disokong harga purata tambang yang lebih baik tahun ini berbanding tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, trend memberangsangkan ini juga dijangka kekal berterusan sehingga hujung tahun, hasil inisiatif Kerajaan Malaysia melaksanakan pengecualian visa untuk pelancong China ke Malaysia, ditambah dengan peningkatan trafik dalam perkhidmatan Fly-Thru AirAsia ke pasaran-pasaran utama domestik dan antarabangsa.

"Kita akan berkembang dengan lebih besar di pasaran China, sejajar dengan strategi kami untuk menguasai pasaran di rantau ini. Kami menerima tambahan dua buah pesawat untuk operasi kami di Malaysia bagi menampung rangkaian kami yang semakin berkembang, menjadikan keseluruhan armada kami kepada 30 unit sehingga Ogos 2016," kata Kamarudin.

Jelas Kamarudin, tiada lagi penghantaran pesawat akan dilakukan sehingga 2018.

Keuntungan bersih selepas cukai AirAsia X bagi suku ini dicatatkan pada RM1 juta berbanding kerugian RM132.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu keuntungan operasi syarikat dicatatkan pada RM20 juta.