Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama AirAsia X Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu tidak mempunyai rancangan untuk membeli pesawat kerangka besar Airbus A350.

Dalam 'live chat' dari London yang dipaparkan di Facebook, beliau berkata pesawat Airbus A350 terlalu mahal dan harga tambang akan meningkat.

"Tiada rancangan untuk membuat penerbangan ke London lagi. Kami akan mencari pesawat yang boleh membawa kita ke sana," katanya.

Dalam temu bual dengan media asing pada tahun lepas, Tony berkata AirAsia X mempertimbangkan pesawat A350 yang lebih besar untuk meningkatkan kapasitinya.

Beliau turut menyatakan bahagian jarak jauh AirAsia Bhd tidak akan memerlukan A330neo jika A350 digunakan.

AirAsia X turut menangguhkan pelancaran semula laluan ke London dan sebaliknya, menumpukan kepada strategi bagi laluan di rantau Asia Pasifik.

- BERNAMA