Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad berjaya mengumpul dana sebanyak RM350,000 untuk Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dalam satu inisiatif yang dilancarkannya baru-baru ini.

Melalui kempen #AirAsiaMAKNA, setiap 10 sen dari hasil tempahan penerbangan yang dibuat melalui laman web airasia.com dari 15 Ogos hingga 16 September disumbangkan kepada badan kebajikan kanser negara tersebut.

Menurut Ketua Pengawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar, kempen ini melambangkan komitmen berterusan jangka panjang syarikat penerbangan tersebut dalam memerangi kanser.

"AirAsia terus komited dalam membantu pesakit-pesakit kanser di seluruh negara dalam memerangi penyakit ini.

"Ini adalah salah satu daripada komitmen kami dalam menyumbang kembali kepada komuniti bagi terus memberi impak positif terhadap masyarakat sekeliling," kata Aireen selepas Majlis Penyampaian Sumbangan #AirAsiaMAKNA 2016 di ibu negara pada Ahad.

Tahun lepas, kempen yang sama berjaya mengumpul dana hampir RM265,000 untuk MAKNA dan ini menjadikan jumlah kutipan sehingga kini sebanyak RM650,000.

Tambah Aireen, idea inisiatif kesedaran kanser ini tercetus apabila kajian mendapati bahawa lima peratus daripada rakyat negara ini berdepan risiko menghidap kanser menjelang umur 75 tahun.

"Kami didorong oleh faktor bahawa usaha dan sumbangan kami akan disalurkan untuk memberi perkhidmatan pengubatan, pencegahan, penyelidikan dan servis sokongan kepada pesakit kanser dan keluarga mereka di Malaysia," katanya.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Lembaga Pemegang Amanah MAKNA Professor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, yang menerima sumbangan RM350,000 oleh AirAsia bagi pihak MAKNA.

Dzulkifli dalam ucapannya berkata, kolaborasi seperti ini dan kesedaran sosial adalah penting bagi memastikan bantuan sesuai diterima oleh mereka yang memerlukan tanpa kelengahan dan gangguan.

"Setiap tahun jumlah pesakit kanser yang terkorban tidak terkira, bukan kerana kekurangan pilihan perubatan tetapi disebabkan kekurangan pembiayaan untuk rawatan, serta kurang kesedaran dalam penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Dzulklifi merayu kepada kerajaan supaya MAKNA dikecualikan daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ini kerana, katanya, 88 peratus hospital kerajaan di Malaysia merujuk pesakit yang menghidapi kanser kepada MAKNA.

"Kami menerima lebih kurang 5,000 kes penyakit kanser setiap tahun dan kebanyakan daripada pesakit kami ada yang tidak mampu membiayai kos rawatan dan perubatan.

"Apa salahnya kecualikan kami daripada membayar GST apabila kami membeli bekalan perubatan seperti ubat-ubatan dan peralatan untuk pesakit kami," jelas Dzulkifli dalam sidang media selepas majlis tersebut.

Orang ramai yang berminat menyumbang kepada usaha amal ini, boleh melayari laman web MAKNA di www.makna.org.my.