Pengeluar pesawat berpangkalan di Perancis, Airbus, mengunjurkan kumpulan pesawat di Asia Pasifik meningkat kepada lebih 15,000 daripada 6,000 ketika ini dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Bercakap pada taklimat media hari ini, Presiden Airbus Group Asia-Pasifik, Pierre Jaffre berkata permintaan di rantau ini berkembang kepada 5.5 peratus, setahun.

Malaysia, pasaran ketiga terbesar Airbus di rantau ini selepas China dan India, akan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan kukuh itu dengan peningkatan permintaan terhadap pesawat, katanya.

"Perniagaan kami di sini terdiri daripada pesawat awam hinggalah kepada helikopter dan kelengkapan pengangkutan tentera.

"Malaysia juga merupakan rakan kongsi perindustrian terbesar kami di Asia Tenggara, dengan nilai projek Airbus yang dijalankan di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 25 peratus kepada lebih AS$500 juta menjelang 2021, daripada AS$400 juta sekarang," katanya.

Lebih 700 pesawat komersial Airbus ditempah oleh syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia, termasuk pesawat satu lorong terlaris, A320, pesawat popular bersaiz sederhana A330 dan A380.

Malaysia juga merupakan pelanggan eksport pertama bagi pesawat pengangkut tentera A400M dan lebih 100 helikopter Airbus digunakan dalam perkhidmatan pada Isnin.

Mengenai perkembangan lain, Jaffre berkata persediaan sedang dibuat bagi menghantar pesawat A350 serba baharu pertama kepada Malaysia Airlines Bhd pada akhir Disember.

Sementara itu, Jaffre berkata kumpulan itu akan menjadi satu daripada pempamer antarabangsa terbesar di LIMA 2017, mempamerkan pelbagai jenis produk bagi pasaran awam dan pertahanan, dengan lapan pesawat menyertai dalam pertunjukan udara dan statik. -- Bernama