Bagi memperkasakan agenda koperasi dalam negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membentangkan pindaan kepada Akta Koperasi dalam sidang Parlimen akan datang.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya sudah bersedia untuk membentangkan pindaan tersebut dan percaya ia akan melonjakkan koperasi-koperasi dalam negara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita akan gunakan sistem tier (peringkat) untuk membezakan koperasi-koperasi ini.

"Kalau mereka (koperasi) mencapai tier tertinggi, kita akan liberalisasikan mereka supaya mereka tidak tersekat dari segi menjalankan perdagangan dalam negeri," kata Hamzah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Kebangsaan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) ke-32 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Selain itu, beliau turut melancarkan Pelan Strategik Angkasa (2017-2050) bagi merencana halatuju Angkasa bagi tiga dekad yang akan datang.