Al Rajhi Bank Malaysia kini menawarkan Rafahia Debit Card-i, kad debit Islamik pertama Malaysia dengan perlindungan Takaful sehingga RM1 juta.

Produk itu disediakan untuk pengguna Islam yang mahu menunai haji atau umrah dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Al Rajhi Bank Malaysia ialah anak syarikat milik penuh Bank Islam terbesar dunia, Al-Rajhi Bank, Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Steve Chen berkata pelanggan layak mendapat perlindungan sehingga RM500,000 di seluruh dunia, yang digandakan sehingga RM1 juta semasa pengguna menunai haji atau umrah.

"Selain itu, pelanggan akan menikmati yuran pengeluaran paling rendah iaitu RM6 di semula mesin ATM Al-Rajhi Bank di Arab Saudi.

"Berdasarkan kelebihan ini, kami yakin dapat mendaftarkan 20,000 pemegang Rafahia Debit kad-i menjelang akhir tahun," katanya pada sidang media selepas pelancaran produk baharu itu di sini hari ini.

"Pelanggan berpeluang menerima pembayaran balik sehingga RM60,000 bagi pengangkutan ke hospital terdekat dan penghantaran balik ke Malaysia di bawah pengawasan perubatan sekiranya berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan," katanya.

Chen berkata pelanggan juga akan menerima bayaran sekali gus untuk haji badal sehingga RM8,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan/hilang upaya kekal, dan sehingga RM1,500 sekiranya berlaku kehilangan bagasi semasa perjalanan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Al Rajhi Bank Malaysia Datuk Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan berkata Rafahia Debit-i juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank mengaplikasikan permintaan kewangan moden menerusi pembangunan produk inovatif yang menarik pasaran sasaran.

Mulai cawangan pertama dan utama di Jalan Ampang pada Oktober 2006, Al Rajhi kini mempunyai 24 cawangan di seluruh negara, termasuk 17 di Lembah Klang dan masing-masing di Johor, Melaka, Pulau Pinang, Ipoh, Kota Baharu, Kuantan, Kuching, Sungai Petani dan Kota Kinabalu.