Berita  | Bisnes

Aliran dana asing RM1 bilion ke dalam pasaran ekuiti Malaysia pada Januari

Aliran dana asing RM1 bilion ke dalam pasaran ekuiti Malaysia pada Januari
Pakar Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata, ketidaktentuan bagaimanapun mungkin berterusan didorong laporan dan acara semasa dalam keadaan pertumbuhan dan permintaan global yang lembap. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pasaran ekuiti Malaysia menyaksikan aliran masuk dana asing bersih sebanyak RM1 bilion pada Januari 2019 selepas tiga bulan berturut-turut merekodkan aliran keluar manakala pegangan asing ke atas ekuiti meningkat kepada 23.5 peratus daripada 23.4 peratus pada Disember 2018.

Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank (UOB) Malaysia), Julia Goh berkata aliran masuk asing yang kembali semula ke dalam ekuiti pada Januari adalah seiring ringgit yang lebih kukuh serta aliran portfolio bukan pemastautin yang masuk semula ke dalam pasaran pesat membangun.

"Kami berpendapat pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) yang lebih cenderung kepada kadar faedah rendah menunjukkan kesabaran mereka untuk kenaikan kadar faedah seterusnya, serta memberi petanda bahawa Fed mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah sehingga Jun 2019.

"Ini sekali gus memberi penangguhan kepada pasaran dan langkah untuk meraih hasil.
"Bagaimanapun, ketidaktentuan mungkin berterusan didorong laporan dan acara semasa dalam keadaan pertumbuhan dan permintaan global yang lembap," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Selasa.

Mengenai prospek ringgit, Goh berkata mata wang tempatan mungkin berada antara 4.05 dan 4.10 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat sebelum bergerak kepada 4.15 dan 4.18 pada pertengahan dan akhir 2019, masing-masing, disokong oleh kenaikan kadar faedah Fed pada Jun dan Disember.

Beliau berkata dalam jangka pendek, ringgit dijangka disokong oleh pemacu pertumbuhan domestik yang stabil, pembaharuan dasar secara berperingkat dan lebihan akaun semasa yang kukuh.

"Ringgit kekal di bawah nilai berbanding mata wang serantau dan aset dalam denominasi ringgit mungkin menawarkan jaminan selamat ketika pilihan raya di beberapa negara serantau pada separuh pertama 2019," katanya.

Mengulas rundingan perdagangan antara AS dan China, Goh berkata bank itu menjangkakan tempoh rundingan antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu dilanjutkan dengan tarif dikekalkan pada status quo.

-- BERNAMA