Terkenal dengan Kulchas dan Lassi, Amritsar muncul sebagai destinasi kelima teratas di India bagi golongan penggemar makanan.

Ini berdasarkan satu kajian dijalankan Booking.com ke atas beberapa destinasi terkemuka di negara terbabit.

Amritsar merupakan satu daripada destinasi paling menarik di India, di mana terletaknya tempat ibadat pengikut Sikh, Kuil Suci Harmandir Sahib, juga dikenali sebagai Kuil Emas.

"Amritsar merupakan pusat untuk industri tekstil dan kimia serta pemprosesan dan pengilangan makanan, penenunan sutera, penyamakan dan pengetinan dan pembuatan jentera.

"Di sini juga terdapat premis McDonalds vegetarian yang pertama di dunia!" menurut AirAsia dalam satu kenyataan.

Dengan adanya perkhidmatan baharu AirAsia yang melakukan penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke Amritsar, berkunjung ke sana kini lebih mudah dan mampu dinikmati.

Amritsar adalah destinasi ketiga bagi AirAsia X selepas New Delhi dan Jaipur, dan destinasi ketiga di India secara global bagi Kumpulan AirAsia.

Pada 16 Ogos, penerbangan pertama syarikat tambang rendah jarak jauh bersekutu AirAsia, AirAsia X, akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Amritsar.

"Nilai, pilihan dan inovasi adalah asas kepada jenama AirAsia. Berserta tambang pada nilai hebat secara konsisten, tetamu boleh menikmati pilihan berpatutan perjalanan premium bersama tempat duduk PremiumFlatbed AirAsia X.

"Pelancong dari hampir 50 kota dari 16 negara dalam rangkaian Kumpulan AirAsia bakal dihubungkan ke Amritsar melalui perkhidmatan 'fly thru' syarikat penerbangan ini.

"Perkhidmatan baharu ini akan memberi faedah kepada pelancong ke destinasi menarik, dan puluhan ribu Sikh yang ingin melawat Amritsar, bagi menziarahi Kuil Emas, dari mana-mana 130 destinasi Kumpulan AirAsia dan AirAsia X, merentasi Asia Pasifik," kata AirAsia.

Selain daripada kuil tersebut, pelancong juga boleh melawat destinasi pelancongan popular lain termasuk Sempadan Wagah, Jallianwala Bagh, Kubu Gobindgarh, Sadda Pind dan Muzium Partition untuk pengalaman kebudayaan yang menakjubkan.

Jallianwala Bagh. Foto AirAsia

Sempadan Wagah adalah garisan antara India dan Pakistan di mana istiadat Paluan Berundur dan Pertukaran Pengawal diadakan setiap hari, menyaksikan ribuan pengunjung berkumpul di kedua-dua belah sempadan.

Jallianwala Bagh adalah medan di mana berlaku pergelutan dan kejadian tumpah darah membabitkan pejuang negara dalam usaha memerdekakan India daripada belenggu penjajahan British pada 13 April, 1919.

Gobindgarh Fort, sebuah kubu bersejarah yang terletak di tengah-tengah kota Amritsar, pada awalnya diduduki pasukan tentera, namun mula dibuka kepada orang ramai pada 10 Februari, 2017.

Sempadan Wagah menyaksikan ribuan pengunjung berkumpul di kedua-dua belah sempadan India dan Pakistan menyaksikan acara Paluan Berundur dan Pertukaran Pengawal yang diadakan setiap hari. Foto AirAsia

Di Sadda Pind pula, sebuah resort perkampungan Punjab dengan keluasan kira-kira 12 ekar, pengunjung akan dihubungkan kepada warisan kaum itu dan boleh mengecapi kehidupan desa sebenar di India.

AirAsia X menawarkan tambang sehala (termasuk semua) pada RM349 dari Kuala Lumpur ke Amritsar, bagi tempoh tempahan mulai sekarang hingga 5 Ogos, 2018 untuk tempoh perjalanan antara 16 Ogos hingga 31 Oktober, 2018.

Bagi membuat tempahan, layari airasia.com.