Inter-Pasific Asset Management Sdn Bhd (IPAM) hari ini melancarkan dana pelaburan baharu, InterPac Capital Preservation and Growth Fund (ICPG Fund) yang menyasarkan pelaburan patuh syariah di pasaran luar negara.

Anak syarikat Berjaya Corporation Berhad itu turut mengumumkan bekas Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan sebagai Ketua Pengurusan IPAM baharu, yang bertanggungjawab menguruskan dana tersebut.

Menurut Nazri, ia merupakan dana pelaburan pertama di negara ini yang memastikan modal pelabur terpelihara dari risiko kerugian.

“Ini merupakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk membuat pelaburan secara langsung dan tidak langsung.

“Pelanggan akan memiliki modal terpelihara dan jangkaan pulangan dividen sebanyak empat peratus yang dibayar setiap tahun bersama kenaikan harga saham.

“Saham tersebut akan dilaburkan dalam deposit dan sekuriti yang disenarai dan tidak disenarai di dalam serta luar Malaysia.

"Kami menjangkakan pulangan yang memberangsangkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mega Seminar Menang Saham Bersama DDNK di Ideal Convention Centre (IDCC), pada Sabtu.

Program yang dihadiri lebih 5,000 peserta itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.

Mengulas lanjut, kata Nazri, pihaknya menyasarkan pulangan pelaburan sebanyak 30 peratus secara kumulatif dalam tempoh tiga tahun, dengan sekurang-kurangnya RM1 bilion

Beliau juga yakin perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China akan menunjukkan keredaan pada tahun depan, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi dunia dan pasaran pelaburan.

“Kami rasa tahun depan adalah tahun baik untuk pelaburan kerana banyak peluang pelaburan istimewa di luar Malaysia,

“Pertama, kita perlu faham bahawa kami menjangkakan ketegangan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China akan berkurang. Jadi, ini menunjukkan perubahan positif dan kami juga melihat Brexit berjalan lancar berbanding daripada apa yang kami jangkakan,” katanya.