Di sebalik saham sektor perbankan sekitar Asia, Eropah dan Amerika Syarikat menyaksikan kejatuhan, saham perbankan tempatan dijangka kekal berdaya tahan.

Astro AWANI menghubungi Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan.

Ini 3 perkara anda perlu tahu mengenai kejatuhan pasaran saham perbankan di Eropah.

1. Kesan kelemahan harga minyak

Pelabur ambil kira situasi bank yang terdedah kepada kelemahan prestasi syarikat minyak dan gas yang mempunyai pinjaman yang tinggi.

Menurut Dr Nazri, situasi yang berlaku khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat (kejatuhan saham perbankan) disebabkab oleh kebimbangan kejatuhan harga bon yang mempunyai hubung kait dengan syarikat-syarikat minyak.

“Di Malaysia, kebanyakan bank tempatan tidak terlalu terdedah kepada syarikat berkaitan mintak dan gas. Saya yakin bank-bank di Malaysia akan terus utuh dan sistemnya akan berkekalan.”

DATUK DR NAZRI KHAN
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank


2. Pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS)

Pengerusi The Fed Janet Yellen dijangka akan membuat penerangan berkenaan data dan situasi ekonomi AS kepada Kongres pada malam Rabu.

Pengumuman ini dijangka akan memberi kesan kepada pasaran saham, sama ada kadar faedah akan dinaikkan atau tidak.

3. Pengubahsuaian Bajet 2016

Bagi pasaran domestik, pengubahsuaian Bajet 2016 dijangka menjadi pemangkin kepada saham tempatan.

Ini melalui langkah pengurangan cukai dan pengurangan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Situasi ini dijangka meningatkan penggunaan sekaligus memberikan sentiment positif terutama kaunter berkaitan penggunaan.

Dr Nazri turut berkata Ringgit bakal diniagakan kukuh berbanding Dolar Amerika dipacu harapan harga minyak yang mungkin pulih sedikit.

Tambahnya kini merupakan masa sesuai untuk membeli saham pada harga murah, untuk pelaburan jangka panjang.