Usahawan Malaysia kini boleh melebarkan sayap perniagaan mereka ke Indonesia terutamanya di kawasan pedalaman republik berkenaan.

Menteri Desa Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, Eko Putro Sandjojo berkata, terdapat lebih 400 peraturan telah dipermudahkan bagi menggalak usahawan dari Malaysia melabur di negara mereka.

Katanya, menerusi usaha itu, hubungan Malaysia-Indonesia mampu menjadi penggerak utama ASEAN nilai pasaran melebihi AS$7.2 billion menjelang 2050.

"Sekarang kalau di Indonesia, untuk buka perusahaan hanya mengambil masa tiga jam berbanding tempoh beberapa bulan sebelum ini.

"Banyak inisiatif yang dibuat kerajaan Indonesia bagi mempermudahkan pelaburan terutamanya dari Malaysia," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Archipelago Indonesia ARCHEX 2018 yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana pula berkata, penganjuran ARCHEX ini bukan sahaja bertujuan untuk memasarkan produk Indonesia ke Malaysia tetapi juga sebagai usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau juga, keupayaan Malaysia sebagai negara yang menjadi destinasi utama pilihan pelancong juga menjadi faktor utama Malaysia dipilih sebagai destinasi untuk memasarkan produk mereka.

Pameran ARCHEX 2018 yang diadakan di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak di sini bertujuan memperkenalkan produk-produk peserta Badan Usaha Milik Desa (BUMDES) yang telah dieksport ke Malaysia.

BUMDES, yang beroperasi di bawah Kementerian Desa Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat desa di Indonesia dengan potensi pasaran membabitkan lebih dua juta warga Indonesia yang tinggal di Malaysia

Antara aktiviti perniagaan utama bagi masyarakat desa di Indonesia ialah sektor pertanian dan pelancongan.