Penyusutan nilai ringgit yang ditentukan oleh keadaan pasaran dunia tidak akan menjejaskan ekonomi negara dengan ketara kerana asas ekonomi negara sentiasa kukuh, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata nilai eksport negara juga melebihi nilai import dengan anggaran eksport tahun 2014 pada RM762.8 bilion berbanding nilai import RM677.2 bilion, yang menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM85.6 bilion.

"Dalam tempoh volatiliti atau kemeruapan yang berlebihan, Bank Negara Malaysia akan sentiasa memantau pasaran ringgit bagi memastikan pasaran tukaran wang asing yang teratur.

"Ini akan menggalakkan kestabilan kadar pertukaran serta memudahkan perdagangan dan pelaburan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata hasil kerajaan daripada sumber petroleum termasuk Petronas juga tidak terjejas dengan banyak pada tahun ini kerana pengiraan purata harga minyak bagi setahun 2014 berdasarkan US$110 setong.

"Dijangka purata tahun ini sekitar US$104 setong dengan mengambil kira penurunan harga minyak pada November dan Disember sekarang ini," katanya.

Dengan penyusutan ringgit, kata Ahmad, barangan import akan meningkat harganya, namun ini membolehkan rakyat menggunakan lebih banyak produk buatan Malaysia seterusnya mengembangkan sektor pembuatan dalam negara.

Barangan eksport Malaysia ke luar negara pula akan lebih murah, justeru mengembangkan sektor export, katanya.

"Maka akan bertambah keuntungan syarikat, kenaikan gaji, bonus, tambahan bilangan pekerja, bertambah cukai kepada kerajaan dan bilangan kilang juga berkembang," katanya lagi.

Sektor pelancongan pula akan lebih berkembang kerana perkhidmatan hotel, pengangkutan, harga barangan akan menjadi lebih murah dari sudut pandangan negara yamg nilai wangnya tinggi dibanding ringgit.

Sektor perkhidmatan yang diberi kepada pihak luar juga akan berkembang kerana kosnya akan menurun berkadaran dengan peratus penurunan mata wang.

Timbalan Menteri itu berkata dalam menangani penyusutan ringgit, agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Felda dan Felcra perlu segera mencari pasaran baru untuk minyak sawit.

Petronas juga perlu terus mencari sumber baharu minyak dan gas serta mengadakan kerjasama (JV) di negara-negara lain.

Produk hiliran getah dengan ciptaan dan inovasi baharu perlu terus diusahakan, katanya.