Nisbah nilai aset kewangan isi rumah di Malaysia berbanding hutang isi rumah iaitu pada kadar 214 kepada 100 peratus pada 2014, menggembirakan, kerana hutang tersebut kebanyakannya adalah untuk memiliki harta atau aset.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun peratusan hutang isi rumah pada 87.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014 dilihat agak tinggi di rantau Asia, namun dengan milikan aset yang melebihi sekali ganda nilai hutang, ia bukan perkara yang perlu dirisaukan.

"Isi rumah mempunyai lebih 50 peratus aset berbanding liabiliti dan ini diterima baik secara umum di peringkat universal.

"Bagaimanapun, punca utama hutang isi rumah bertambah disebabkan harga rumah yang semakin tinggi. Hampir 50 peratus daripadanya disebabkan pembelian kediaman.

"Kalau pihak industri hartanah dapat mengurangkan harga rumah dengan menawarkan lebih banyak produk rumah mampu milik, pasti jumlah hutang isi rumah akan dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada jamuan tengah hari Anugerah Memperingati Wen Hui UNESCO, di sini semalam.

Ahmad berkata demikian berikutan cakap-cakap yang menyatakan Malaysia berada dalam kedudukan bahaya kerana isi rumah dibebani hutang yang tinggi.

Jelasnya, berdasarkan keseluruhan 87.1 peratus itu, 45.7 peratus daripadanya merupakan pembelian harta kediaman, 7.7 peratus harta bukan kediaman, pembelian kenderaan (16.6 peratus), hutang kad kredit (3.9 peratus), pinjaman peribadi (15.7 peratus), pembelian sekuriti dan saham (6.5 peratus) manakala selebihnya untuk tujuan lain.

Ahmad berkata nisbah aset kewangan dan hutang isi rumah sejak beberapa tahun kebelakangan mencatat angka positif yang konsisten melebihi paras 200 peratus, dengan 2010 mencatatkan 235 kepada 100 peratus, 2011 (225:100), 2012 (223:100) dan 2013 (220:100).

Beliau berharap hutang isi rumah dapat dikurangkan kepada 75 peratus seperti yang dicatat pada 2010, menerusi usaha pendidikan celik kewangan, penawaran lebih banyak rumah mampu milik oleh kerajaan dan swasta serta peningkatan sumber pendapatan isi rumah melalui aktiviti keusahawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) daripada 15 peratus kepada 30 peratus tahun ini untuk hartanah yang dijual dalam tempoh empat tahun pembelian, mampu mengawal kenaikan mendadak harga rumah, selain mengehadkan pembelian kediaman kepada warga asing kepada nilai RM1 juta.