Asia perlu mewujudkan badan perdagangan dan sistem monetarinya sendiri seperti Pertubuhan Perdagangan Asia dan Tabung Kewangan Asia bagi menyokong perdagangan, aktiviti ekonomi dan paling utama mengurangkan kemiskinan menerusi transaksi perniagaan, demikian menurut Ketua Ahli Ekonomi IQI Global, Shan Saeed.

Menurutnya, tindakan Amerika Syarikat (AS) membatalkan layanan keutamaan terhadap 15 negara termasuk Malaysia, baru-baru ini, telah mengejutkan ramai kalangan pembuat keputusan yang pada masa sama turut mempertikaikan kewujudan badan perdagangan seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"WTO sudah menjadi tidak relevan lagi bagi tujuan libat urus perdagangan. Ia terbukti tidak rasional dan tidak pragmatik. Bagi saya, WTO telah menjadi amat tidak relevan kepada pasaran kewangan global dan bakal menjadi sejarah sepertimana (nasib) agensi penarafan.

"Dasar perlindungan AS itu akan menjejaskan penggunanya sendiri berbanding di peringkat global. Kalangan pengguna AS misalnya memacu 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Namun, disebabkan struktur perlindungan/cukai/kuota yang dilaksanakan, inflasi harga dengan mudahnya akan meningkat 4-5 peratus dan menyebabkan kuasa beli itu susut," katanya kepada Bernama TV dalam temu bual menerusi telefon.

Laporan pada Isnin menyebut tindakan AS mengecilkan senarai dalaman negara membangun dan kurang membangun atas alasan mengurangkan kemungkinan siasatan AS sama ada negara terbabit menjejaskan industri Washington menerusi eksport dengan subsidi yang tidak adil.

Berikutan itu, kelompok negara yang dikecualikan daripada menerima layanan keutamaan itu meliputi negara sedang membangun seperti Albania, Argentina, Armenia, Brazil, Bulgaria, China, Colombia, Costa Rica, Georgia, Hong Kong, India, Indonesia, Kazakhstan, Republik Kyrgyz, Malaysia, Moldova, Montenegro, Macedonia Utara, Romania, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Thailand, Ukraine, dan Vietnam.

Shan melihat langkah itu sebagai agenda strategik Presiden AS Donald Trump.

Menurutnya rantaian bekalan juga terjejas disebabkan oleh pendekatan Amerika itu.

"Semakin banyak negara yang telah beralih daripada perdagangan dolar dan ingin berdagang dengan yuan China berikutan dasar ekonomi republik itu yang konsisten berasaskan kepada pemahaman dan kerjasama perdagangan bersama. Yuan menjadi mata wang bagi pasaran sedang pesat membangun," katanya.

Beliau berkata WTO hilang status platform dan penglibatan anggotanya kerana ia tidak lagi relevan kepada pasaran dan anggotanya telah hilang kepercayaan terhadap pertubuhan perdagangan itu.

Menurutnya lagi, ekoran keputusan tidak rasional AS itu pertumbuhan ekonomi global berkurangan sebanyak 0.2 hingga 0.3 peratus.

Pada masa hadapan, kata Shan, negara-negara anggota seperti China, Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia mungkin boleh menimbang membentuk badan perdagangan mereka sendiri di Asia dan tidak lagi berharap kepada WTO.

Sementara itu, Dr Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Institute of International Affairs, yang mengulas mengenai langkah AS untuk membatalkan keutamaan subsidi WTO bagi beberapa negara membangun, berkata pentadbiran Trump nampaknya mempunyai obsesi dengan apa yang dianggapnya sebagai "perdagangan tidak adil" yang mana seluruh dunia hanya melihatnya sebagai ketidakseimbangan perdagangan yang tidak dapat dielakkan.

"Pengenaan seakan sekatan perdagangan terhadap rakan dan musuh Amerika ini mungkin akan memudaratkan kepentingan nasional Amerika dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang," kata Oh.

-- BERNAMA