Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 7.50 sen seunit serta bonus 1 sen seunit bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Pengagihan itu melibatkan pembayaran RM10.16 bilion oleh ASNB, peningkatan 10.8 peratus berbanding RM9.17 bilion yang dibayar tahun lepas.

Bonus pula melibatkan peruntukan RM804.43 juta oleh Permodalan Nasional berhad (PNB), peningkatan 19 peratus berbanding RM675.93 juta yang dibayar tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pembayaran akan memanfaatkan 8.6 juta pemegang unit yang kini memiliki 137.07 bilion unit ASB.

“Kami boleh bayar lebih 10 sen, tetapi kami mengambil pendekatan berhemah, 7.5 sen diberi dan selebihnya dibawa kehadapan untuk tentukan perancangan seterusnya kerana portfolio kita jangka panjang bagi pulangan kompetitif," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

(*Nota editor: Lihat perbandingan agihan dividen ASB dari tahun 1990 hingga 2014.)

Pendapatan kasar penuh ASB sehingga 16 Disember 2014 dianggar berada pada RM10.55 bilion.

Dividen yang diterima daripada syarikat pelaburan menyumbang RM4.64 bilion atau 44 peratus daripada pendapatan kasar.

Sementara itu, keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM4.23 bilion atau 40.1 peratus daripada pendapatan kasar dan baki RM1.68 bilion disumbang pendapatan lain.

Pengagihan keuntungan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang secara automatik dan pemegang unit boleh mengemaskini akaun masing-masing di cawangan berdekatan bermula 2 Januari 2015.

Kesemua transaksi bagi ASB di ibu pejabat ASNB atau cawangan digantung bermula 23 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015 bagi membolehkan pengiraan pengagihan keuntungan dan bonus dilakukan.