Saluran berita Astro AWANI diberi pengiktirafan dalam Anugerah Kewartawanan PEMUDAH 2015 yang berlangsung hari ini.

Menerusi laporan 'Produktiviti dan Tahap Kesenangan Menjalankan Perniagaan' ia dipilih menduduki tempat kedua bagi kategori penyiaran dan membawa pulang sijil dan wang tunai RM5,000.

Menurut Penerbit Rizal Zulkapli, anugerah itu bagi mengiktiraf rancangan temubual khas yang diadakan susulan laporan Bank Negara berkenaan kedudukan Malaysia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2016 pada November 2015.

"Temubual yang kami adakan bersama PEMUDAH adalah susulan daripada laporan kemudahan melakukan perniagaan di serata dunia yang dikeluarkan oleh Bank Dunia yang menyatakan bahawa Malaysia telah meningkat dalam kedudukannya.

"Jadi kami melihat, inisiatif Bisnes AWANI adalah untuk mengetengahkan lagi inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan oleh badan-badan kerajaan seperti PEMUDAH.

"Ia bagi memastikan bahawa ahli perniagaan dan ahli ekonomi dan mereka yang terlibat dalam dunia peniagaan faham apakah peranan Pemudah dan juga bagaimanakah PEMUDAH telah mengurangkan lagi karenah-karenah birokrasi di dalam menjalankan perniagaan dalam Malaysia," katanya di sini.


Anugerah anjuran Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, pada majlis pelancaran Laporan Tahunan PEMUDAH 2015.

Temubual dikendalikan pengacara dan wartawan, Nurul Hana Ismail bersama Timbalan Ketua Pengarah NPC, Abdul Latif Abu Seman.